- 注册时间
- 2009-1-12
- 最后登录
- 2017-1-30
- 在线时间
- 185 小时
- UID
- 19576
- 阅读权限
- 30
- 精华
- 0
- 积分
- 672
- 帖子
- 1589
- 学币
- 12173
- 学分
- 354
- 帖子
- 1589
- 学币
- 12173
- 学分
- 354
- 贡献
- 0
- 贝壳
- 0
- 文采
- 0
|
Dasar Perindustrian Berat Di Malaysia
Latarbelakang
Sektor perindustrian memberi sumbangan yang besar kepada ekonomi negara setanding dengan sektor pertanian. Sumbangan sektor perindustrian dalam KDNK telah meningkat dari 13.4% pada tahun 1970 kepada 20.5% dalam tahun 1980 sementara sumbangan sektor pertanian menurun dari 30.8% kepada 22.2% dalam tempuh yang sama. Begitu juga dengan peluang pekerjaan yang diwujudkan di mana peraturannya dalam sektor perindustrian telah bertambah dari 11.4% pada tahun 1970 kepada 15.8% pada tahun 1980 sedangkan di sektor pertanian peratusannya menurun dari 50.5% kepada 40.6%. Pertumbuhan sektor perindustrian dalam dekad tersebut ialah 12.5% setahun berbanding dengan hanya 4.3% bagi sektor pertanian.
Proses perindustrian telah melalui tahap-tahap yang diperlukan bermula dengan industri tradisional berasaskan pertanian sebelum tahun 1960an kepada industri gantian-import pada tahun 1960an dan seterusnya industri-industri intensif buruh dan eksport pada tahun-tahun 1970an. Langkah seterusnya yang paling wajar dalam proses perindustrian ini ialah dengan mengamalkan dasar industri berat iaitu perindustrian yang memerlukan modal yang besar, teknologi yang tinggi dan menggunakan tenaga pekerja mahir yang ramai.
Rasional
Industri berat mempunyai potensi jangka panjang dalam proses rancangan perindustrian negara kerana dasar ini adalah merupakan satu langkah ke arah satu ekonomi yang lebih kukuh dengan memperluas dan mengukuhkan asas dan struktur perkilangan agar ianya terus mampu menghadapi pertumbuhan dan kematangan.
Selama ini, Kerajaan adalah merupakan pelabur yang terbesar sementara sektor swasta kurang memainkan peranan dan pelaburannya adalah terlalu lembap. Sektor ini tidak dinamik di mana ia lebih bertindak balas kepada galakan dan perlindungan tanpa memberi perhatian kepada 'new areas' dan berbelanja untuk penyelidikan dan pembangunan. Pada masa-masa yang lepas sektor swasta lebih memandang ke dalam (inward-looking) dan polisi ditujukan ke arah itu iaitu gantian import dan galakan perlindungan tanpa memikirkan persaingan dalam pasaran dunia. Dasar perindustrian berat diharap dapat mengubah keadaan ini agar sektor swasta meningkatkan pelaburan mereka dan mengambil bahagian cergas dalam pembangunan ekonomi melalui program perindustrian berat yang lebih sophisticated yang akan mengwujudkan industri-industri sokongan dan berkemampuan untuk bersaingan dalam pasaran dunia.
Kebanyakan pelaburan sehingga hari ini, adalah 'assembly of packaging type'yang gagal memberi peluang untuk 'forward or backward linkages'. Akibatnya, walaupun proses perindustrian telah berlangsung selama 25 tahun, Malaysia masih belum mempunyai 'industrial elite' dan masyarakat perindustriannya sendiri. Malaysia perlu mempunyai kedua-dua ini jika mahu terus maju setanding dengan negara-negara perindustrian yang lain.
Objektif
Dasar Industri Berat dijangka akan mencapai objektif-objektif berikut:
(1) Mengimport dan menyerap teknologi yang lebih sophisticated
untuk memajukan teknologinya sendiri. Dengan itu, perindustrian di Malaysia tidaklah hanya setakat memproses dan menghasilkan barang-barang pengguna yang mudah, tetapi sebaliknya dapat mengeluarkan bahan-bahan mentah serta jentera-jentera perindustrian dan barang-barang gantian import untuk keperluan negara secara kompetitif.
(2) Mengelakkan pergantungan berterusan kepada barangan dan
teknologi asing. Dengan ini, negara boleh menyelamatkan tukaran wang asing dan seterusnya mengasaskan langkah berjaga-jaga ke atas ketidak-tentuan harga dan bekalan bahan-bahan keperluan strategik.
(3) Mempelbagaikan dan memperkukuhkan eksport barangan Malaysia
untuk mengatasi dasar perlindungan yang ada di negara-negara maju terhadap barangan yang dihasilkan oleh perindustrian intensif buruh negara-negara membangun.
(4) Industri berat dijangka dapat meningkatkan keupayaan
industri-industri kecil dan industri sokongan di samping mengwujudkan industri-industri pertengahan yang baru. Pengalaman di negara-negara lain menunjukkan bahawa pelaburan dan gunatenaga yang diwujudkan oleh industri-industri pertengahan, sokongan dan kecil ini adalah lebih besar dari yang ditimbulkan oleh industri-industri berat itu sendiri.
(5) Mengwujudkan peluang untuk para pekerja dilatih dalam
bidang-bidang kejuruteraan dan kemahiran-kemahiran berkaitan.
Strategi Pelaksanaan
Industri berat memerlukan modal besar, teknologi yang tinggi dan sophisticated dan pekerja mahir. Selain dari Kerajaan, tidak ada pelabur-pelabur tempatan yang sanggup melabur modal dalam projek-projek yang sebegini besar. Pelabur-pelabur tempatan juga tidak mempunyai teknologi yang diperlukan. Dengan demikian, pelaburan dalam bidang ini terpaksa diusahakan oleh Kerajaan dan pelabur-pelabur asing.
Bagi tujuan ini, Kerajaan telah menubuhkan Perbadanan Industri Berat Malaysia (HICOM) pada tahun 1980. Peranan HICOM adalah untuk mengenalpasti, memulakan, melaksanakan dan menguruskan projek-projek dalam bidang industri berat. Berikutan dari ini beberapa projek tajaan Kerajaan dengan usaha sama pelabur asing telah dilancarkan. Ini termasuk logi simen, besi panas dan pancang keluli, projek kereta nasional, logi enjin kecil, palpa dan kertas dan kompleks kejuruteraan.
Kesemua projek-projek ini adalah memerlukan bahan-bahan atau komponen-komponen tertentu dalam pengeluarnnya. Di sini timbullah peranan yang patut dimainkan oleh industri-industri sokongan dan kecil untuk membekalkan bahan-bahan tersebut. Dengan itu, perlaksanaan program industri berat mempunyai serampang dua mata; iaitu mengwujudkan projek industri berat itu sendiri dan meningkat keupayaan industri sokongan atau mengwujudkan industri-industri baru. Di sini pelabur-pelabur tempatan (swasta) haruslah memainkan peranan aktif bagi mengwujudkan 'secondary industries' yang berasaskan 'high-teknologi' dan berkeupayaan mempercepatkan pertumbuhan industri pertengahan dan sederhana. Dengan tidak secara langsung ianya akan mengwujudkan industri gantian import pusingan kedua dan 'resource-based industries' untuk eksport.
Oleh kerana industri berat memerlukan teknologi yang sophisticated dan kemahiran yang tinggi di mana ianya menjadi masalah di Malaysia, dasar ini memerlukan pengimportan kedua-dua sumber itu secara mengadakan usahasama dengan pelabur asing. Rakan perkongsian asing dimestikan menyediakan kerjasama dan bantuan dalam melatih pekerja, pengendalian dan pengurusan projek. Ini adalah bagi menentukan pemindahan teknologi berjalan dengan berkesan dan projek mencapai kejayaan.
Insentif berbentuk kredit, tariff atau subsidi patutlah diberi kepada projek-projek ini bagi membolehkan industri ini berdiri buat permulaannya.
Pengeluaran juga haruslah bukan sahaja untuk pasaran dalam negara tetapi hendaklah juga ditujukan kepada pasaran dunia. Dari segi ini, tindakan pemasaran yang agresif hendaklah dijalankan dan usaha-usaha dibuat dalam penyelidikan dan pembangunan demi mengurangkan kos pengeluaran agar barangan menjadi lebih kompetitif.
Kajian juga hendaklah dibuat bagi mengenalpasti projek-projek yang sesuai dan paling bermunafaat kepada Malaysia dan menentukan pilihan teknologi yang akan digunakan.
Penutup
Oleh kerana bentuk perindustrian berat yang rumit itu tidak menggalakkan penglibatkan sektor swasta dalam negeri, maka Kerajaan nampaknya terpaksa mengambil daya utama untuk menjalankan industri ini dan membiarkan pelabur swasta menjalankan industri sampingan bagi komplimen industri berat itu. Ini dengan sendirinya akan mempertingkatkan proses perindustrian dan memperluaskan asas perindustrian yang diperlukan bagi industri berat. Buat beberapa ketika pergantungan kepada teknologi asing tidak dapat dielakkan, tetapi dengan penyusunan cara pemindahan teknologi yang teratur, ianya akan dapat dikurangkan sedikit demi sedikit sehingga akhirnya Malaysia boleh mengwujudkan teknologinya sendiri. Selain dari itu, langkah yang patut diambil ialah dengan memberikan intensif yang sesuai kepada industri dalam negeri bagi membolehkan ia merangka 'capital saving equipment' melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan mereka. Berdasarkan pencapaian yang telah diperolehi dalam dasar perindustrian negara selama ini, dasar industri berat ini juga akan mencapai kejayaan yang sama jika pendekatan yang sesuai dibuat. |
|